Subscribe:

Ads 468x60px

Pages

November 27, 2011

Krisis Ekonomi - Apa Persediaan Kita?

Salam. Mungkin kita di kampung dan di negara kita belum merasai bahang kegawatan ekonomi dunia di awal dekad abad ke-21 ini. Sebelum ini pada tahun 2008-2009, bahangnya tidak juga dirasai bila harga-harga komoditi khususnya getah dan kelapa sawit melambung tinggi. Negara pula mengambil pendekatan menjana perbelanjaan negara bagi memangkinkan semula ekonomi dengan meningkatkan kadar hutang negara. Kini kadar hutang negara sudahpun melepasi 50% Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) atau Gross Domestic Product.

Ianya mengingatkan saya tentang World Great Depression yang berlaku pada awal abad ke-20 dahulu iaitu sekitar tahun 1929 hingga 1932 yang berlaku di antara dua perang dunia 1 & 2 ketika itu. Ketika belajar pengajian ekonomi di universiti dahulu, saya diberitahu oleh professor ekonomi kami tentang kemelesetan ekonomi dunia yang paling teruk pernah dialami oleh dunia. Bila saya melihat semula perspektif sejarah dunia Islam, ketika itu hampir semua negara Islam dijajah kuasa2 kolonialis besar dan empayar Khalifah Uthmaniyyah yang menaungi dunia Islam selama enam abad mula runtuh dan diganti dengan pemerintahan sekular Turki. Negara umat Islam berada di ambang menuntut kemerdekaan dan dipecah-pecah menjadi negara bangsa (nation-states). Ketika itu negara-negara umat Islam mula berpaut dengan ideologi Sosialisme dan Liberalisme yang menjadi fahaman politik Barat ketika itu. Syariat Islam mula menjadi suatu yang ganjil dan umat Islam sendiri sudah tidak lagi melihat perlaksanaan syariat Islam kerana ianya telah diganti dengan undang2 yang ditinggalkan oleh penjajah Barat. Syariat Islam hanya tinggal di dalam aspek kekeluargaan dan pewarisan sahaja. Hukum takzir oleh mahkamah syariah bagi menggantikan hukuman hudud dan qisas kerana undang2 sivil digunakan sepenuhnya oleh negara2 yang baru merdeka. Di sudut kewangan pula, institusi perbankan berteraskan riba mendominasi muamalat harian dan perniagaan.

Ekonomi dunia khususnya di Amerika Syarikat dan Eropah kini mengalami suasana kemelesetan ekonomi yang semakin meruncing. Kali ini kemelesetan kali ke-2 (second dip recession) semakin membimbangkan bila AS masih terpinga-pinga dengan beban hutang negara yang mencecah trilion (bukan lagi bilion) dollar. Negara-negara Eropah sedang tenat di dalam mencari penyelesaian terutama sekali di dalam mempertahan negara2 seperti Greece, Ireland, Sepanyol dan Itali yang diambang bangkrup! Matawang Euro mereka perlu dipertahankan. Hutang dalam bentuk bon-bon kerajaan dikeluarkan bagi mengelakkan ekonomi daripada semakin parah. Institusi kewangan riba yang selama ini mendominasi ekonomi dunia Eropah mula dilihat sebagai punca kepada segala masalah ekonomi yang berlaku. Kadar pengangguran juga semakin meningkat. Di dalam majalah The Economist (edisi 23-28Sep 2011) melaporkan 10% rakyat AS kini tidak mempunyai pekerjaan tetap lagi. Bahang yang sama mula melanda negara-negara Eropah yang lain.

Apakah kesannya kepada ekonomi negara-negara lain termasuk negara kita Malaysia? Apakah persediaan yang perlu kita lakukan? Apakah kesan kegawatan ekonomi dunia Barat kepada permintaan barangan dari negara kita? Di manakah kedudukan syariat Islam sebagai satu sistem alternatif yang wajar ditawarkan kepada dunia?

Sebagai individu pula, saya fikir kita perlu memastikan beberapa tindakan praktikal yang boleh kita lakukan sebagai persediaan menghadapi suasana ketidaktentuan ini iaitu :-

(1) Tingkatkan budaya kepenggunaan yang sederhana dan tinggalkan amalan bermewah-mewah atau terikut-ikut trend semasa masyarakat untuk berbelanja berlebih-lebihan. Elakkan pembaziran di dalam gaya hidup kita. Ukur baju di badan sendiri.
(2) Tingkatkan aktiviti menambah pendapatan yang lain selain pendapatan sedia ada hari ini dan ini termasuk usaha2 membangunkan perniagaan bersama secara koperasi dan seumpamanya. Pengumpulan dana secara koperasi mampu mengelakkan kita dibebani hutang perniagaan.
(3) Hindarkan daripada meningkatkan bebanan hutang di luar kemampuan dan kawal penggunaan kad kredit (bagi yang menggunakannya).
(4) Teruskan aktiviti menabung terutama di dalam skim perlindungan takaful keluarga, kesihatan dan pendidikan. Ini sebagai jaminan untuk diri dan keluarga kita kelak.

Apa lagi ye? Tuan puan boleh tambah sendiri.
(penulisan Pengerusi JK Ekonomi ANKAD pada 29 Sept 2011 yang keluar dlm fB ANKAD)

0 comments:

Post a Comment